Kami di Orga Mountainworks percaya untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar, langkah pertama ialah mewujudkan suasana hijau di persekitaran kehidupan kami dahulu. Selebihnya barulah kami mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan impak pada alam sekitar. Pengamalan konsep bumi hijau dapat menjamin kesejahteraan hidup baik dari segi penjimatan kos mahu pun sebagai persediaan di saat sesuatu bencana berlaku.
Kisah pandemik Covid19 yang cukup menggegarkan dunia pada tahun 2020 ini menyedarkan kami tentang betapa pentingnya konsep bumi hijau ini dalam mengiringi pergerakan industri seperti juga dalam industri pembuatan seperti kami. Setidaknya, apabila berlaku bencana seperti ini, kami masih mampu menyumbang kepada masyarakat setempat melalui pengeluaran hasil-hasil pertanian hijau yang dikeluarkan.
Ibu pejabat Orga Mountainworks di Melaka, Malaysia dikelilingi kebun-kebun yang diusahakan bagi menyokong konsep bumi hijau di persekitaran tempat kerja. Antara projek yang diusahakan adalah penanaman cili teknik fertigasi, tebu hitam, kelapa muda, pisang, buah-buahan seperti manggis, durian, mangga serta penternakan ayam kampung. Suasana seperti ini dilihat lebih mendekatkan kami kepada alam yang menyumbang sumber terapi kepada idea-idea rekabentuk kami.
Ketika wabak Covid19 melanda, projek bumi hijau ini telah dapat menyokong usaha pembekalan hasil-hasil tanaman ini kepada penduduk-penduduk tempatan. Ianya juga telah menjadi penyelamat kepada keboleh-terusan survival industri pembuatan produk seperti kami. Pengeluaran hasil-hasil pertanian seperti ini telah membolehkan kami untuk menampung kos-kos industri kesan daripada pandemik ini.
Justeru, untuk masa-masa mendatang, Orga Mountainworks bukan sahaja akan meneruskan Projek Bumi Hijau ini malah akan melipat-gandakan lagi usaha untuk menambah suasana kehijauan di sekeliling pusat industri kami. Ini menggambarkan kekuatan komitmen kami dalam memelihara kepentingan kelestarian alam sedunia dan tindakan penjagaan bersama untuk diwarisi pada generasi akan datang.