Seringkali kita terbaca, atau menemui beberapa penulisan yang menyatakan bahawa sesuatu gear itu material fabriknya adalah ripstop, taffeta atau oxford. Ini adalah satu kesilapan kerana sebenarnya ripstop, taffeta atau oxford bukannya sejenis fabrik. Sebaliknya ia adalah corak tenunan (weave).
Sebutan yang lengkap perlulah seperti contoh ini; nylon ripstop 210d. Maknanya nylon adalah material bagi yarn yang digunakan. Ripstop ialah corak tenunan (weave) dan 210d ialah jumlah denier bagi yarn fabrik tersebut.
Di dalam industri pembuatan outdoor gear, weave fabrik yang banyak digunakan ialah ripstop, taffeta atau oxford. Jadi weave yang lain seperti herringbone weave, twill weave, jacquard weave, poplin weave, denim weave dan sebagainya tidak diperbincangkan di sini.
Ripstop, Taffeta atau Oxford bukan nama-nama material fabrik. Sebaliknya ia adalah corak tenunan yarn (serat) dalam kategori woven fabrik. Yarn yang melintang di panggil welf manakala yarn yang menegak dipanggil warp.
Taffeta adalah salah satu jenis plain weave dimana welf dan warp dari yarn yang sama dijalin dalam susunan melintang dan menegak dengan sekata. Terdapat banyak jenis plain weave yang lain seperti basket weave, rib weave atau chiffon weave. Dan Taffeta adalah salah satu daripadanya.
Oxford pula memiliki corak tenunan yang sama seperti taffeta tetapi mempunyai sekurang-kurangnya 2 yarn yang sama sebagai welf dan sekurang-kurangnya 2 yarn yang sama juga sebagai warp. Fabrik cordura classic dan fabrik nylon ballistic adalah contoh jenis fabrik yang ditenun dengan oxford weave.
Manakala Ripstop adalah corak tenunan yang mempunyai 2 jenis yarn berbeza pada warp dan welf yang disusun dalam beberapa sela tertentu. Yarn yang berwarna hijau ( lihat gambar) biasanya menggunakan yarn yang lebih kuat. Ada pengeluar yang menggunakan kombinasi yarn nylon 6 bersama nylon 6.6 (polyamide). Ada yang menggabungkan yarn yang sama tetapi denier yang berbeza. Dan ada juga yang menggabungkan nylon 6.6 bersama spectra (dyneema) lalu dinamakan fabrik tersebut sebagai Dyneema Gridstop. Kelebihan corak tenunan seperti ini ialah ia memiliki 2 strength berbeza dalam satu fabrik.
Di antara ketiga-tiga corak weave di atas, ripstop weave mempunyai banyak kelebihan dari segi kekuatan dan ketahanan kerana struktur yarn nya. Namun, kekuatan sesuatu fabrik perlu juga dilihat pada komposisi fabrik itu sendiri secara menyeluruh. Menggunakan yarn yang berbeza memberi hasil yang berbeza. Begitu juga jika menggunakan denier yarn yang berbeza. Semuanya ada kelebihan dan kekurangan.